Pada 20 hingga 21 November 2025, Sekolah Kebangsaan Pulau Tinggi telah mengadakan Sambutan Hari Kanak-Kanak selama dua hari yang berlangsung dengan penuh meriah dan ceria. Program ini diadakan sebagai usaha untuk meraikan para murid serta memberikan mereka peluang untuk bergembira selepas penat menjalani sesi pembelajaran sepanjang tahun. Sambutan ini turut melibatkan seluruh warga sekolah yang bekerjasama menjayakan pelbagai aktiviti menarik.
Majlis perasmian Sambutan Hari Kanak-Kanak ini telah disempurnakan oleh Encik Ahmad Shahir bin Shafie, Penolong Kanan Pentadbiran SK Pulau Tinggi. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada semua guru atas usaha mereka merancang program yang bermanfaat serta menekankan kepentingan aktiviti sebegini dalam membina sahsiah dan keyakinan diri murid.
Pelbagai acara menarik telah dijalankan sepanjang dua hari tersebut. Pada hari pertama, murid-murid telah menyertai beberapa aktiviti sukan seperti perlawanan bola tampar gergasi, perlawanan futsal dan acara sukaneka. Kesemua aktiviti ini berlangsung dalam suasana gamat dan penuh tawa riang. Murid-murid kelihatan sangat teruja dan menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi.
Pada hari kedua pula, suasana menjadi lebih meriah dengan penganjuran pertandingan busana serta pertandingan karaoke. Pertandingan busana telah menampilkan kreativiti murid-murid dalam berpakaian mengikut tema yang ditetapkan, manakala pertandingan karaoke memberi peluang kepada murid untuk menunjukkan bakat dalam bidang nyanyian. Sorakan dan tepukan gemuruh daripada rakan-rakan telah menghidupkan lagi suasana.
Penyelaras program, Encik Muhamad Aizat bin Lukman, telah merakamkan ucapan tahniah kepada semua murid yang telah berjaya dalam pertandingan yang diadakan. Beliau turut menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberi kerjasama sehingga program ini dapat dijalankan dengan lancar.
Secara keseluruhannya, Sambutan Hari Kanak-Kanak 2025 di SK Pulau Tinggi merupakan satu program yang sangat berjaya dan memberi kenangan manis kepada semua yang terlibat. Program ini bukan sahaja memupuk semangat setiakawan dan keterampilan murid, malah telah mengeratkan hubungan antara guru dan murid. Diharapkan program sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan demi kesejahteraan dan kegembiraan murid.
Hari Pertama:
Hari Kedua
Comments
Post a Comment