Skip to main content

Sejarah




Tinggal kenangan, bangunan lama SK Pulau Tinggi

Pulau Tinggi merupakan sebuah pulau yang berbentuk bujur dan terletak kira-kira 20 batu nautika (37km) dari selatan tenggara Mersing di pantai timur Johor, Malaysia. Pada zaman dahulu, pulau ini dikenali sebagai Pulau Topi Jeneral(General`s Hat Island) oleh Kelasi Cina. Perjalanan ke Pulau ini memakan masa lebih kurang 60 minit dari jeti Mersing. Bahagian daratan pulau ini diselaputi oleh hutan tanah pamah.Titik tinggi pulau ini ialah 2000 kaki (600m) dari aras laut.

     Sekolah Kebangsaan Pulau Tinggi telah ditubuhkan sejak tahun 1950-an lagi di Kampung Tanjung Balang. Bangunan sekolah ini telah dibina secara bergotong-royong mengunakan bahan-bahan yang ditaja sepenuhnya oleh pihak RISDA. Pembinaan sekolah ini bertujuan untuk memberikan pendidikan yang setaraf kepada penduduk-penduduk kampung di sekitar Pulau Tinggi, antaranya Kampung Tanjung Balang, Kampung Sebirah Kecil dan Kampung Pasir Panjang.

     Setelah beroperasi selama lebih kurang 10 tahun, pada tahun 1960, kerja-kerja pembinaan sekolah cawangan di Kampung Sebirah Kecil dimulakan. Rasionalnya adalah untuk menampung jumlah murid yang semakin meningkat, di samping dapat mengurangkan jarak perjalanan murid-murid ke sekolah. Jika sebelum ini, ada di antara murid-murid yang terpaksa ke sekolah dengan menaiki bot dan berjalan kaki dengan jarak yang jauh. 

     Sementara waktu, bangunan sekolah ini telah dibina di atas tanah yang dipinjamkan oleh Enick Ayub Bin Jumin. Sekolah cawangan ini siap dibina dan mula beroperasi pada tahun tersebut. Bagaimanapun, ianya hanya mampu menampung murid-murid tahap satu sahaja, iaitu murid tahun 1 hingga 3. Pada tahun yang sama (1960-an), projek pembinaan bangunan kekal bagi sekolah cawangan telah dilaksanakan di atas sebidang tanah yang telah diwakafkan oleh Encik Mohd Shah Bin Mamun. Bangunan ini telah siap sepenuhnya dan memulakan operasinya pada tahun 1961. Bangunan ini mampu untuk menampung keperluan murid dari tahap satu dan dua. 

     Tenaga pengajar sedia ada tidak mampu untuk menampung kapasiti murid yang semakin tahun semakin bertambah. Maka, jumlah tenaga pengajar yang ditempatkan juga semakin meningkat dari tahun ke tahun. Pertambahan ini telah mengakibatkan kediaman yang sedia ada tidak mencukupi. Justeru, pada tahun 1973, kerajaan telah mula mendirikan bangunan rumah guru yang baru di Kampung Tanjung Balang dan Kampung Sebirah Kecil bagi menampung kapasiti tenaga pengajar yang semakin bertambah.

    Sepanjang tempoh pembinaan bangunan sekolah ini, kerajaan telah menghadapi beberapa kekangan. Antaranya dari segi lokasi dan pengangkutan. Sehubungan itu, bangunan Sekolah Kebangsaan Pulau Tinggi yang lengkap akhirnya siap dibina pada tahun 1982. Bangunan ini dilengkapi dengan kemudahan seperti ruangan pejabat yang menempatkan bilik guru besar dan bilik guru penolong kanan, bilik guru, perpustakaan, stor sukan, ruangan bilik darjah yang mencukupi, serta tandas guru lelaki dan perempuan dan tandas murid lelaki dan perempuan. Dengan pembinaan sebuah bangunan lengkap ini mampu menjamin keselesaan murid-murid untuk belajar.

     Sejak awal 1980-an lagi, akibat desakan hidup, ramai penduduk di sekitar perkampungan Pulau Tinggi berhijrah ke darat. Di samping itu, penghijarahan penduduk ini juga bertujuan untuk mengambil peluang di mana tanah rancangan FELDA mula dibuka di gugusan Tenggaroh. Penawaran yang dapat meningkatkan taraf kehidupan ini menarik minat para penduduk untuk berhijrah. Penghijarahan ini mengakibatkan jumlah penduduk di Pulau Tinggi semakin berkurangan. Secara tidak langsung, ia juga memberi kesan kepada jumlah murid di kedua-dua sekolah di pulau tersebut. Disebabkan jumlah murid yang semakin berkurangan, akhirnya pada tahun 1995 sekolah cawangan di Kampung Sebirah Kecil ditutup secara rasminya. Kini, hanya sebuah sekolah sahaja yang masih beroperasi sehingga kini iaitu di Kampung Tanjung Balang.

       Setelah penutupan sekolah cawangan tersebut, murid-murid yang mendaftar di sekolah cawangan di Kampung Tanjung Balang meningkat. Guru-guru yang ditempatkan di Kampung Sebirah juga telah ditarik semula untuk mengajar di sekolah di Kampung Tanjung Balang. Hal ini mengakibatkan pertambahan bilangan tenaga pengajar. Secara tidak langsung, kediaman sedia ada tidak mampu untuk menampung kapasiti tenaga pengajar yang ada. Justeru, sekali lagi pada tahun 2001, kerajaan telah mengambil inisiatif untuk menambah bangunan rumah guru yang baru. Bangunan rumah guru sebanyak 2 unit 4 pintu itu telah dibina di atas tanahmilik sekolah. Berikutnya, pada tahun 2002, kerajaan juga telah membina 1 blok bangunan tambahan di Sekolah Kebangsaan Pulau Tinggi.

     Pada tahun 2009, kerajaan telah meluluskan projek penggantian bangunan sekolah lama dengan bangunan baru tiga tingkat yang dilengkapi dengan kemudahan seperti kantin, makmal sains dan bengkel kemahiran hidup, stor sukan, stor, ruangan pejabat yang menempatkan bilik guru besar dan bilik guru penolong kanan, bilik guru, perpustakaan, tandas guru dan tandas murid, bilik darjah, surau, gelanggang dan padang. Bangunan baru ini telah siap sepenuhnya pada pertengahan tahun 2011 dan mula beroperasi pada awal tahun 2012.

p/s : Penulisan sejarah SK Pulau Tinggi ini kemungkinan mempunyai beberapa versi. Sekiranya anda bekas guru SK Pulau Tinggi yang mengetahui sedikit sebanyak tentang sejarah SK Pulau Tinggi, sila hubungi kami di emel skpulautinggi@gmail.com untuk penceritaan yang lebih lanjut tentang sejarah SK Pulau Tinggi.

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Kejohanan Bola Sepak 5 vs 5

 Sabtu - 19 Oktober 2024. SK Pulau Tinggi telah menghantar penyertaan ke Kejohanan Bola Sepak 5vs5 yang telah berlangsung di SK Tenglu, Mersing, Johor. Kejohanan ini merupakan kejohanan pertama buat pasukan bola sepak SK Pulau Tinggi. Pasukan sekolah yang diketuai oleh adik Mohamad Ridhuan Shah bin Zurini (Tahun 4) tidak berjaya mendapat tempat ke slot seterusnya.  Pada perlawanan pertama. SK Pulau Tinggi menentang pasukan SK Tenglu dan tewas tipis 1 berbalas 0. Manakala pada perlawanan yang kedua, SK Pulau Tinggi telah bertemu dengan pasukan SK Al-Taqwa dan berjaya menewaskan pasukan tersebut dengan 5 berbalas 1 jaringan. Pada perlawanan ketiga, pasukan sekolah terikat jaringan 1 berbalas 1 dengan pasukan daripada SK Tg Resang. Perlawanan yang keempat SK Pulau Tinggi telah tewas besar apabila bertemu dengan pasukan daripada SK  Tenggaroh 4 iaitu dengan jaringan 4 berbalas 0 jaringan. Pihak sekolah dan unit Kokurikulum SK Pulau Tinggi, mengucapkan tahniah kepada kesemua p...

KEJOHANAN OLAHRAGA TAHUNAN SK PULAU TINGGI 2024

 RABU- 20 November 2024. Unit Kokurikulum SK Pulau Tinggi telah menganjurkan Kejohanan Olahraga Tahunan bagi tahun 2024. Seramai 24 orang peserta daripada rumah sukan Merah dan Biru bersaing secara sihat dalam kejohanan pada kali ini. Puan Ros sana binti Hussien, Ketua Kampung Pulau Tinggi, telah merasmikan majlis pada pagi ini. Antara acara yang dipertandingkan adalah: acara padang: 1. Lompat Tinggi 2. Lompat Jauh 3. Lontar Peluru acara balapan: 1. 50 meter 2. 100 meter 3. 4x50 meter 4. 4x100 meter Pihak sekolah mengucapkan tahniah kepada murid-murid yang telah berjaya merangkul pingat emas pada kejohanan hari ini. Yang tidak berjaya jangan mudah berputus asa, dan buat yang terbaik pada masa yang akan datang.  Acara Padang : Lompat Jauh, Lompat Tinggi & Lontar Peluru Acara Balapan Gambar perjalanan majlis Bacaan Ikrar kejohanan Oleh Mohamad Arash Amsyar bin Ismail Lintasan Perbarisan Kontigen Rumah Sukan Majlis Penutup penyampaian Hadiah

Majlis Khatam Al-Quran Pulau Tinggi 2024

 Jumaat - 4 Oktober 2024. Jawatankuasa Pengurusan Pulau Tinggi dengan kerjasama Sekolah Agama Pulau Tinggi dan Sekolah Kebangsaan Pulau Tinggi telah melaksanakan program Khatam Al-Quran bagi tahun 2024. Seramai 7 orang peserta khatam Al-Quran yang menyertai program pada kali ini, iaitu: 1. Muhammad Hazri 2. Nur Khadijah 3. Nurul Alya Farezha 4. Nur Mieya Soffia 5. Putri Ummairah 6. Ahmad Faiz 7. Nur Aliesya Pihak sekolah mengucapkan tahniah kepada kesemua peserta yang telah berjaya khatam Al-Quran dan semoga dengan adanya program seperti ini dapat menyuntik semangat cintakan Al-Quran dan secara tidak langsung melahirkan generasi Al-  Quran pada masa akan datang. Persembahan Nasyid