Pada 11 September 2025, telah berlangsung Sambutan Maulidurrasul peringkat Pulau Tinggi bertempat di Masjid Pulau Tinggi. Sambutan pada kali ini diadakan dengan penuh meriah dan teratur, dengan bertemakan “Membangun Ummah Maju Johor”.
Sehari sebelum acara kemuncak, iaitu pada 10 September 2025, pelbagai aktiviti telah diadakan sebagai pengisian awal sambutan. Antara aktiviti tersebut ialah pertandingan mewarna, pertandingan gubahan bunga telur dan sejadah, pertandingan binaan replika masjid, pertandingan hafazan serta pertandingan busana kanak-kanak. Aktiviti ini mendapat penyertaan yang menggalakkan daripada murid sekolah, belia serta penduduk setempat. Suasana pada hari tersebut berlangsung meriah dengan semangat kekeluargaan dan kecintaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Majlis utama pada 11 September 2025 dimulakan dengan bacaan doa serta selawat ke atas Rasulullah SAW. Acara seterusnya ialah ucapan alu-aluan daripada pihak penganjur sebelum diteruskan dengan ucapan perasmian oleh Encik Mohammad Faiq bin Fadzil, Penghulu Mukim Pulau-pulau yang telah merasmikan majlis berkenaan. Kehadiran masyarakat setempat yang memenuhi ruang masjid turut menyerikan suasana sambutan pada pagi tersebut.
Kemuncak sambutan ini adalah ceramah agama yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Solihin bin Ramli. Ceramah beliau menekankan tentang akhlak Rasulullah SAW, kepentingan perpaduan ummah serta penghayatan tema sambutan “Membangun Ummah Maju Johor”. Pengisian ceramah tersebut memberi manfaat besar dan berjaya menyentuh hati para hadirin.
Secara keseluruhannya, Sambutan Maulidurrasul peringkat Pulau Tinggi 2025 telah berjalan dengan lancar dan berjaya mencapai objektif penganjurannya. Penganjuran program yang merangkumi aktiviti masyarakat pada 10 September dan majlis kemuncak pada 11 September ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim, malah menyemarakkan lagi kecintaan terhadap Rasulullah SAW.
| Gambar bersama - Ustaz Mohd Solihin bin Ramli, Encik Mohd Bakhtiar bin Basir, Encik Mohammad Faiq bin Fadzil, Encik Othman bin Taib, dan Puan Ros sana binti Hussien. |
Comments
Post a Comment