Pada 3 September 2025, Sekolah Kebangsaan Pulau Tinggi telah berjaya melaksanakan Program Bicara Kenegaraan : “Aku Kasih Malaysia” yang dianjurkan dengan kerjasama Akademi Kenegaraan, Jabatan Perdana Menteri. Program ini diadakan di Dewan Terbuka SK Pulau Tinggi dengan tujuan utama untuk menyemai semangat cintakan tanah air dalam kalangan warga sekolah serta memperkukuh jati diri generasi muda sebagai pewaris negara.
Majlis bermula pada jam 7.30 pagi dengan ucapan alu-aluan oleh Guru Penolong Kanan 1, Encik Ahmad Shahir bin Shafie yang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur kerana memilih sekolah ini sebagai lokasi pelaksanaan program. Turut hadir ialah wakil pegawai daripada Akademi Kenegaraan, Jabatan Perdana Menteri serta barisan guru-guru SK Pulau Tinggi.
Acara utama program ialah sesi bicara kenegaraan yang disampaikan oleh penceramah jemputan daripada Akademi Kenegaraan. Dalam sesi ini, murid-murid didedahkan dengan nilai patriotisme, sejarah perjuangan kemerdekaan negara, peranan generasi muda dalam mengekalkan keamanan serta pentingnya mempertahankan kedaulatan Malaysia. Penyampaian yang santai serta interaktif berjaya menarik minat murid-murid yang memberikan respon positif sepanjang program.
Selain itu, program turut diserikan dengan persembahan deklamasi sajak patriotik oleh murid-murid Tahun 6 serta kuiz kenegaraan yang menguji pengetahuan para peserta mengenai sejarah, tokoh dan identiti nasional Malaysia. Aktiviti ini bukan sahaja menceriakan suasana malah memberi ruang untuk mengukuhkan pemahaman murid terhadap nilai-nilai kenegaraan.
Secara keseluruhannya, Program Bicara Kenegaraan : “Aku Kasih Malaysia” berjaya mencapai objektifnya dalam memupuk semangat cintakan tanah air dan menyemai kesedaran kebangsaan dalam kalangan murid. Pihak sekolah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Akademi Kenegaraan, Jabatan Perdana Menteri atas penganjuran program yang amat bermanfaat ini. Semoga usaha sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan demi melahirkan generasi muda yang berjiwa patriotik serta bersedia menjadi benteng pertahanan negara.
Comments
Post a Comment