Pada 25 dan 26 November 2025, Sekolah Kebangsaan Pulau Tinggi telah menganjurkan Program Sambil Belajar ke Johor Bahru yang melibatkan murid sasaran dari Tahun 2 hingga Tahun 6. Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada murid terhadap pembelajaran di luar bilik darjah serta menambah pengalaman dan pengetahuan baharu.
Rombongan telah bertolak dari Jeti Tanjung Balang pada pukul 9.00 pagi dengan menaiki bot perikanan yang disediakan oleh pihak perikanan. Setibanya di Johor Bahru, destinasi pertama yang dilawati ialah Yayasan Warisan Johor. Di sana, murid-murid berpeluang menyaksikan persembahan tarian zapin serta melihat secara dekat hasil tenunan songket Johor. Lawatan ini memberi pendedahan kepada murid tentang seni budaya dan warisan negeri Johor.
Seterusnya, rombongan meneruskan lawatan ke Go JB Chocolate. Murid-murid didedahkan dengan proses pembuatan coklat dan berpeluang belajar secara langsung cara menghasilkan coklat bersama “Cikgu Coklat”. Aktiviti ini amat menarik dan memberi pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan kepada murid.
Pada pukul 5.00 petang, rombongan bergerak ke pusat bowling di Angsana JB Mall. Aktiviti riadah ini memberi peluang kepada murid untuk beriadah dan mengeratkan hubungan sesama rakan. Selepas itu, rombongan menikmati makan malam di Star Hadramout Restaurant 2. Pihak sekolah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Puan Nadiatul Nadzwa binti Roslan atas tajaan jamuan makan malam untuk rombongan lawatan SK Pulau Tinggi. Rombongan kemudiannya pulang ke rumah penginapan pada jam 10.00 malam untuk berehat.
Pada keesokan harinya, rombongan meneruskan lawatan ke Zoo Johor. Murid-murid dapat melihat pelbagai jenis haiwan dan memperoleh pengetahuan baharu tentang hidupan liar. Lawatan ini jelas menceriakan murid-murid dan mereka kelihatan sangat seronok sepanjang berada di sana.
Tepat jam 11.00 pagi, rombongan bertolak pulang ke Pulau Tinggi. Pihak sekolah mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak perikanan kerana sudi menyediakan pengangkutan bot pergi dan balik ke Pulau Tinggi. Semoga Allah SWT sahaja yang dapat membalas segala jasa dan kebaikan yang telah diberikan.
Secara keseluruhannya, Program Sambil Belajar ini telah berjalan dengan lancar dan berjaya mencapai objektif yang ditetapkan. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang demi manfaat dan perkembangan murid-murid.
Perjalanan Keluar Ke Jeti Tanjung Leman
Go JB Chocolate
Boling di Angsana JB Mall
Makan malam di Star Hadramout Restaurant 2 JB
Melawat Zoo Johor
Comments
Post a Comment